KUALA LUMPUR – Affin Bank Berhad (Affin Bank) telah menyelesaikan pelupusan sebahagian pegangan ekuitinya
dalam AXA Affin Life Insurance Berhad (AALI”) dan AXA Affin General Insurance Berhad
(“AAGI”) kepada Generali Asia N.V. (Generali).
Pelupusan tersebut berserta dengan penjualan keseluruhan pegangan ekuiti yang sebelum ini dimiliki oleh AXA dalam AALI dan AAGI menyaksikan Generali kini menjadi rakan usaha sama terkini Affin Bank dalam operasi perniagaan insurans.
Susulan pelupusan ini, Affin Bank dan Generali bercadang untuk menggabungkan perniagaan milik MPI Generali Insurance Berhad dan AAGI.
Menerusi penggabungan tersebut, Affin Bank akan memegang ekuiti sebanyak 30% dalam kedua-dua AAGI dan AALI.
Entiti perniagaan insurans am yang digabungkan ini bakal menjadi syarikat penyedia insurans am kedua terbesar dengan Premium Bertulis Kasar lebih daripada RM600.0 juta bagi suku pertama 2023 sahaja.
Affin Bank pada hari ini juga turut menandatangani satu perjanjian penyediaan bankasurans selama 15 tahun dengan AAGI/ALI bagi menyediakan produk insurans am/insurans hayat menerusi saluran atau platform bank ini di Malaysia.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kerjasama bankasurans dengan Generali merupakan manifestasi komitmennya ke arah menyediakan penyelesaian kewangan holistik kepada para pelanggan kami di samping menambahbaik pengalaman pelanggan secara keseluruhannya.- MalaysiaGazette