Orang asli sanggup meredah banjir mengunakan sampan yang dibuat sendiri untuk melihat keadaan rumahnya yang terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 OGOS 2022.

DENGKIL – Hujan lebat berterusan di sebelah petang hingga ke lewat malam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat.

Susulan kejadian malam tadi, beberapa penempatan Orang Asli di Dengkil ditenggelami air.

Penduduk, Muni Jampo ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette mengenai banjir yang melanda di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 OGOS 2022

Menurut salah seorang penduduk di Kampung Orang Asli Bukit Seberang Tampoi, Muni Jampor, 29, kawasan tempat tinggalnya sudah ditenggelami air 15 kali tahun ini.

“Banjir tahun ini sahaja sudah 15 kali, kita redha jelah”

“Malam tadi teruk juga, tapi barang-barang penting dah pindahkan dulu, tapi kira-kira jam 11 tu air dah naik secepat mungkin”

“Nasib baik ada khemah ini, peninggalan dari banjir besar pada hujung tahun, Disember lalu.”

“Saya yang selalunya menjadi wakil dalam kampung ini untuk memantau info banjir, kalau di Selangor merah, automatik saya akan tengok amaran di Dengkil” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, di sini, hari ini.

Penduduk, Eddi Jampo ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette mengenai banjir yang melanda di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 OGOS 2022

Dalam pada itu, Eddi Jampor, 50, berkata, beliau terkejut arus air tiba-tiba deras.

“Dalam 11 malam tengok air dah tinggi, kita terus lari di bukit berdekatan, kawasan yang kita dah plan untuk lari apabila ada banjir”

“Selalunya kita akan tinjau di lombong, bila ada info sahaja dan nampak air dah masuk ke dalam kampung, memang kita akan lari siap-siap”

“Susah nak gambarkan perasaan ini, yang penting orang selamat, barang-barang yang penting pun sempat selamatkan” katanya yang bekerja sebagai pekerja lanskap di Putrajaya.

Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamad Saifuddin Hussin ketika ditemubual bersama Malaysia Gazette mengenai keadaan semasa banjir yang telah melanda di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 OGOS 2022

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dengkil, Penolong Penguasa Mohamad Saifuddin Mohamad Hussin berkata, sebanyak 25 buah rumah yang menempatkan 26 keluarga terkesan akibat banjir itu.

Katanya, banjir itu disebabkan oleh limpahan air takungan susulan hujan pada sebelah petang yang bermula dua hari lalu.

“Air mula naik melimpah dari Sungai Langat, Sungai Semenyih. Kita juga menerima beberapa sungai dari Cyberjaya dan Putrajaya serta Sungai Labu di bahagian Kampung Sungai Buah.”

“Operasi pemantauan dan pemindahan mangsa dimulakan semalam pada pukul 7 malam” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Keadaan sekitar kawasan perumahan orang asli di Bukit Tampoi selepas berlaku banjir teruk yang melanda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi Seberang, Dengkil, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 OGOS 2022

Ujar beliau, penempatan itu mudah dinaiki air kerana berada berhampiran sungai dan ban yang pecah seterusnya menyebabkan air masuk ke dalam kawasan kampung.

“Namun apabila kita buat pemantauan pagi tadi, air Sungai Hulu Langat dah surut dan kawasan banjir di Sungai Buah pun turut surut”

“Penduduk di Sungai buah ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Sungai Buah namun di sini (KOA Bukit Tampoi Seberang), tiada lagi PPS dibuka”

“Mereka hanya berteduh dan lari ke penempatan yang dibuat sendiri di tempat tinggi kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tiada sebarang kehilangan nyawa dilaporkan, hanya rumah dan kenderaan sahaja terjejas.

Kesemua penduduk berjaya dikeluarkan dan diselamatkan oleh Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), penduduk kampung, serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Terdahulu media melaporkan enam sungai di Selangor melebihi paras bahaya ekoran hujan lebat berterusan.

Menerusi laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat pukul 11 malam tadi, empat sungai di daerah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang menunjukkan trend meningkat melebihi paras bahaya.

Ia melibatkan Sungai Beranang di Pekan Beranang, Hulu Langat dengan bacaan 32.14 meter (m); Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang (12.74 m); Sungai Langat di Dengkil, Sepang (7.61 m ) dan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat (4.21 m).

Selain itu, dua lagi sungai iaitu Sungai Bakul di Kg. Budiman (Petaling) dan Sungai Jenderam di Jenderam Hulu, Sepang masing-masing mencatatkan bacaan 7.53m dan 11.31 m melebihi paras waspada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast