KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu mahkamah bahawa beliau adalah seorang yang berprinsip dan sentiasa mematuhi setiap peraturan yang termaktub dalam perlembagaan Yayasan Akalbudi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun yayasan tersebut diasaskannya pada 1997 dengan objektif untuk membantu golongan miskin dan memerlukan, beliau tidak pernah menggunanya untuk kepentingan peribadi.
Katanya, beliau sentiasa berhati-hati serta tidak pernah mengendalikan dana Yayasan Alakbudi sewenang-wenangnya.
“Untuk makluman, dana Yayasan Akalbudi ini untuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan seperti mana dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A).
“Saya juga tidak bebas menggunakan dana Yayasan Akalbudi begitu sahaja, ada perlembagaan yang perlu di patuhi dan saya seorang yang patuh,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, hari ini.
Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu pada 24 Januari lalu selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Hari ini, Presiden UMNO itu selesai mengemukakan keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi yang berlangsung selama 17 hari sejak 13 April lalu.
Ketika memberi keterangan bela diri semalam, Ahmad Zahid berkata, apa yang berlaku kepadanya adalah bermotifkan politik.
Sementara itu, mahkamah menetapkan keterangan 40 saksi pembelaan didengar selama 20 hari antara 19 September dan 10 November ini.
Peguam Hamidi Mohd Noh memberitahu Collin bahawa pihaknya telah mengurangkan saksi pembelaan daripada 43 orang kepada 40 orang.
“Yang Arif, saya beri jaminan semua saksi-saksi ini tidak akan memberi keterangan untuk tempoh yang lama,” katanya.
Pembelaan juga akan menyediakan pernyataan bertulis saksi dan menyerahkannya kepada pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum mereka memberi keterangan.
Prosiding bersambung pada 19 September ini. – MalaysiaGazette