Majlis menandatangani persefahaman antara Kolej UNITI Port Dickson bersama Institut Pertanian Bogor (IPB) University yang berlangsung di Pusat Konvensyen IPB, Bogor, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kolej UNITI Port Dickson dan Institut Pertanian Bogor (IPB) University menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan sumber manusia dan dan latihan berkaitan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, menerusi kerjasama itu kedua-dua institusi pendidikan tinggi (IPT) akan
berkongsikan kepakaran serta pengalaman sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global.

Katanya, Kolej UNITI Port Dickson yang merupakan IPT pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian halal secara formal, Diploma Pengurusan Industri Halal iaitu pada 2013 akan berkongsi pengalaman dalam pensijilan halal Malaysia dan pembangunan talen industri halal.

”Sebagai antara universiti terbaik di Indonesia, IPB University pula bakal menawarkan kepakaran dalam bidang penyelidikan berkaitan halal,” katanya mengenai memorandum persefahaman antara kedua-dua IPT berkenaan di Kampus IPB University di Bogor, Jawa Barat baru-baru ini.

Pada majlis itu, IPB University diwakili Rektor, Prof. Arif Satria dan Pengarah Pusat Sains Halal, Prof. Dr. Ir Khaswar Syamsu manakala Amir Hamzah dan Pengarah
Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC), Muhammad Elyas Harun mewakili Kolej UNITI Port Dickson.

Memorandum persefahaman tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua IPT melaksanakan program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar serta
pertukaran pelajar dalam bidang berkaitan.

Amir Hamzah berkata, pemilihan Kolej UNITI Port Dickson yang menerima penarafan MyQuest terbilang 6 bintang (2016/2017) sebagai rakan strategik satu pengiktirafan memandangkan IPT terbabit merupakan Penyedia Latihan Halal (PLH) yang mendapat perakuan Majlis Halal Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

”Sejak 2013, Kolej UNITI telah melahirkan ribuan graduan bidang halal. UHAC juga
sehingga ke sehingga ke hari ini sudah melatih eksekutif-eksekutif halal kompeten
yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa,”  katanya. – MalaysiaGazette