Nur Bibi Ahreza Abdul Hamid mewakili UMS menerima trofi daripada Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid.

KOTA KINABALU – Sebuah karya Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berkisar tentang pengorbanan dua orang ibu tunggal dalam membesarkan anak-anaknya diangkat sebagai juara Pertandingan Teater Prosenium Pengguna Universiti Awam 2022 yang berlangsung di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Skrip ‘Peti Sejuk’ merupakan hasil karya pelajar program pascasiswazah Akademi Seni Kreatif (ASTiF) UMS Jacklyn Kipar, dengan bimbingan pensyarah beliau Sharifuddin Zainal dan Muhammad Syafiq Salleh.

Selain menjuarai pertandingan itu, UMS turut memenangi lima anugerah utama iaitu Pengarah Terbaik, Sinografi Terbaik, Naskhah Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

UMS berjaya memenangi hati juri dan sekali gus mengatasi 10 lagi universiti awam yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut dengan membawa pulang hadiah berupa trofi, sijil dan wang tunai keseluruhan RM7,500.

Karya itu mempamerkan watak Mona sebagai ibu tunggal yang diceraikan oleh suami dan mengalami gangguan psikologi. Mona terpaksa melupakan impiannya untuk menjadi seorang ratu cantik demi untuk membesarkan anak-anaknya.

Namun gangguan psikologi yang dialami Mona telah mengakibatkan beliau tidak mengendahkan tabiat pemakanan yang sihat serta menjejaskan kesihatan anak-anaknya.

Manakala sebuah lagi watak Bu Suna yang merupakan seorang balu kematian suami menghabiskan seharian masanya mengumpul barang kitar semula bagi mendapatkan modal perniagaan untuk menyara kehidupan bersama anaknya.

Kedua-dua ibu tunggal ini berusaha sebaik mungkin untuk memenuhkan peti sejuk untuk menyara anak-anak mereka walaupun terpaksa melanggar etika perniagaan dan menyalahi prosedur penyediaan makanan.

Program Teater Prosenium Pengguna Universiti Awam 2022 yang dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) serta Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).

Ia bertujuan menyebarluaskan pendidikan kepenggunaan kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Program itu yang diadakan buat julung kalinya antara lain bertujuan melestari seni teater dalam kalangan mahasiswa melalui nilai ilmu yang bersifat holistik, merancakkan semula aktiviti teater kampus dan sebagai medium menyebarluaskan pendidikan kepenggunaan. – MalaysiaGazette