KUALA LUMPUR – Sokongan dasar dan penambahbaikan daya saing tenaga boleh diperbaharui akan merangsang peralihan jangka panjang Negara-Negara Sedang Pesat Membangun Asia (EM Asia) kepada campuran tenaga karbon rendah, walaupun pada kelajuan yang berbeza, demikian menurut satu laporan Moody’s Investors Service.

Bagaimanapun, ia berkata, cabaran utama kepada negara-negara tertentu termasuklah pelaksanaan dasar yang konsisten dan tahap kadar hutang tinggi untuk membiayai pengembangan kapasiti tenaga boleh diperbaharui.

“Dasar kerajaan seperti keutamaan dalam penghantaran dan sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui mandatori, akan terus menyokong pembangunan sektor itu di negara sedang pesat membangun.

“Namun peralihan daripada arang batu akan bergantung kepada bagaimana kerajaan mengimbangi objektif dalam tempoh terdekat seperti kemampuan dan jaminan mendapatkan tenaga berbanding matlamat pengurangan pelepasan karbon,” kata naib presiden dan pegawai kredit kanan Moody’s Boris Kan.

Rancangan negara-negara EM Asia untuk mencapai pelepasan bersih-sifar bergantung kepada peralihan campuran bahan api daripada terutamanya kuasa haba kepada tenaga boleh diperbaharui dan bersih.

Di negara-negara EM Asia seperti India dan China, kuasa angin dan solar adalah sumber tenaga paling kompetitif, di dorong terutamanya daripada penurunan harga turbin angin dan modul solar sejak tiga hingga lima tahun lepas meskipun kemeruapan harga ketika ini.

Naib Presiden dan Pegawai Kredit Kanan Moody’s Abhishek Tyagi berkata, kebanyakan penerbit milik persendirian mempunyai sejarah panjang operasi yang stabil dan disokong ramai penaja.

Bagi Malaysia, laporan itu berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui kepada 31 peratus menjelang 2025 dan mencapai karbon yang nuetral seawal 2025.

Ia berkata. kerajaan sedang menyemak semula strategi penyahkarbonannya bagi membantu mencapai sasarannya yang dirancang dimuktamadkan pada akhir 2022.

“Keputusan yang menyokong dan tepat pada masa, yang termasuk pengenalan cukai karbon, boleh membantu menggalakkan pelaburan dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” kata laporan itu.  – BERNAMA