Mohd Zaiham Mohd Kahar

KUANTAN – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menafikan berlaku rompakan di Genting Highlands seperti dakwaan sebuah video dalam bahasa ‘hokkien’ yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan dibuat oleh mana-mana individu berkaitan insiden tersebut.

“Pihak polis juga telah menjalankan siasatan dan mengesahkan tidak berlaku kejadian rompakan sebagaimana yang didakwa dalam video atau audio yang ditularkan di media sosial atau aplikasi ‘whatsapp’,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam video yang tular itu, individu tersebut mendakwa pintu salah sebuah pusat perjudian di situ dikunci dan mengakibatkan pengunjungnya tidak dapat keluar atau masuk berkemungkinan berpunca daripada rompakan atau kebakaran.

Namun, katanya,berdasarkan siasatan awal dengan pihak hotel terbabit, terdapat satu notis telah dikeluarkan kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

Notis telah dikeluarkan pihak pengurusan Genting World Resorts berkaitan amaran palsu penggera kebakaran.

Notis itu menyebut  “Fire Shutters” di pintu masuk SkyCasino telah tertutup secara automatik ekoran amaran palsu penggera kebakaran telah dihidupkan dan isu itu telah diselesaikan 15 minit kemudian.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sesuatu yang boleh menimbulkan kegusaran atau menjejaskan ketenteraman awam.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast