Abdul Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Abdul Latiff mendakwa Rafizi Ramli seorang pembohong kerana memfitnah dan melakukan tohmahan ke atas diri dan keluarganya semata-mata untuk kepentingan politik.

Beliau menyifatkan perbuatan Timbalan Presiden PKR itu sebagai keji yang dikutuk dalam al-Quran.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, polis sudah mengambil keterangan.

”Saya ingin tegaskan bahawa sebagai anggota Kabinet, saya akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” kata Abdul Latiff dalam kenyataan di sini.

Kelmarin, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Abd Latiff, Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad berhubung kenyataan Rafizi yang mengaitkan Ahli Parlimen Mersing itu dan wanita bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa sebagai isterinya dalam penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam laporan itu, Rafizi sejak 22 Ogos 2022 telah menyiarkan empat kenyataan fitnah dan tohmahan dalam hantarannya bertarikh 22, 23, 25 dan 26 Ogos 2022.

Malah Rafizi juga menyiarkan satu video berupa fitnah dan tohmahan melalui akaun TikToknya pada 25 Ogos lalu bahawa Abd Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak pertahanan puluhan juta ringgit dengan Kementerian Pertahanan bagi LCS.

Rafizi sebelum ini mencabar Abd Latiff supaya memfailkan saman serta-merta terhadapnya jika semua dakwaan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Mersing dan isterinya dalam penyelewengan projek kapal LCS itu tidak benar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast