Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak, Jengka , Pahang.

MARAN – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM185.5 juta bagi pembinaan 48 buah masjid di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 buah masjid baharu siap dibina antara 2018 sehingga tahun ini berjumlah RM58.4 juta.

“Selain itu, terdapat 16 buah masjid yang masih dalam proses pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM47.1 juta manakala sebanyak 17 buah masjid lagi akan dibina yang melibatkan peruntukan sebanyak RM80 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Yang diPertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan masjid berkenaan sebagai masjid daerah yang baru dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jelasnya, ia mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kemajuan dan keperluan institusi agama Islam selaras dengan kedudukannya di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi negara.

“Menghayati kedudukan itu, maka kerajaan negeri sentiasa menyediakan peruntukan yang besar bagi memperkasakan institusi agama Islam yang antaranya melibatkan pembangunan dan pembinaan masjid dan surau,” katanya.

Menurut Wan Rosdy, masjid itu dibina pada 12 Oktober 2015 dan siap pada Januari 2018 di atas tapak berkeluasan 10 ekar dengan kos berjumlah RM9.5 juta.

Masjid baharu ini, katanya, menjadi mercu tanda baharu di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka itu direka mengikut konsep seni bina Melayu dengan atap tumpang di tengah bangunan yang bercirikan masjid Nusantara.

Katanya, terdapat dua kubah besar di kiri dan kanan masjid menyerlahkan lagi penampilannya.

Menurut Wan Rosdy, selain masjid ini, empat buah masjid lagi dinaik taraf sebagai masjid daerah iaitu Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Felda Sungai Koyan, Masjid Negeri Lama Kuala Lipis, Masjid Baharu Benta dan Masjid Sultan Abu Bakar Temerloh.-MalaysiaGazette