SERDANG – Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) edisi 2022 mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran melebihi 1.47 juta pengunjung dengan nilai jualan lebih RM281 juta, melepasi sasaran yang ditetapkan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, MAHA2022 adalah yang terbesar daripada segi jumlah pengunjung mahupun nilai jualan.
Kali terakhir pameran itu dianjurkan empat tahun lepas dan ia sepatutnya diadakan pada 2020 namun ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.
“MAHA2022 berjaya merekodkan kehadiran pengunjung seramai 1.47 juta iaitu 1.2 juta adalah pengunjung secara fizikal dan 270,000 pengunjung secara maya, melebihi sasaran awal iaitu 1.1 juta orang pengunjung.
“Aktiviti perdagangan dan perniagaan sepanjang 11 hari pameran ini pula telah merekodkan hasil jualan sebanyak RM281.57 juta yang meliputi jualan terus, jualan atas talian serta padanan perniagaan, berbanding sasaran sebanyak RM250 juta.
“Bagi aktiviti padanan perniagaan bersama syarikat pemasar dari luar negara pula, sebanyak 160 syarikat tempatan telah terlibat sepanjang MAHA diadakan,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi MAHA2022 di di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS), malam ini.
Dalam pada itu, Ronald berkata, penganjuran MAHA2022 juga menyaksikan pemeteraian 33 perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan pengusaha antarabangsa dan tempatan dengan nilai pelaburan lebih RM5.64 bilion.
“Perjanjian kerjasama ini melibatkan pelbagai pihak yang terdiri daripada pengusaha antarabangsa dan pengusaha tempatan.
“Manakala, potensi pembiayaan yang direkodkan oleh Agrobank pula melibatkan 3,322 permohonan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM511.8 juta,” katanya.
Mengulas lanjut, Ronald berharap agar edisi MAHA2024 dianjurkan sebagai pameran pertanian mega dengan memperluaskan penyertaan pempamer-pempamer dan rakan-rakan strategik dari luar negara.
“Adalah menjadi harapan saya juga untuk melihat MAEPS sentiasa dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti berkisarkan pertanian dan agro-pelancongan melalui penggunaan secara optimum fasiliti-fasiliti yang telah disediakan.
“Kejayaan penganjuran MAHA 2022 adalah hasil titik peluh dan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan semua. Tanpa kerjasama erat anda semua yang berada dalam dewan ini dan yang tidak dapat hadir di luar sana, mustahil kita dapat menyaksikan kemeriahan dan kegemilangan yang ditonjolkan dalam MAHA 2022,” katanya. – MalaysiaGazette