Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hadir ke mahkamah pada hari keputusan sama ada dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin membela diri tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Turut diperintah bela diri ialah isterinya yang juga bekas pelakon, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob membuat ketetapan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pasangan suami isteri berkenaan.

Untuk makluman, seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.

Antara saksi kes tersebut termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof dan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) FELCRA, Dr Habibah Suleiman.

Selain itu turut dipanggil memberikan keterangan ialah dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar serta Madhi Abdul Hamid.

Mantan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA itu didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar didakwa menerima rasuah daripada Madhi yang merupakan ejen pelaburan Public Mutual Berhad melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Ketika ini, di hadapan hakim, pembelaan menyatakan pihaknya akan memanggil lapan saksi bagi prosiding bela diri kelak.

Prosiding masih berjalan ketika ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala pasangan itu diwakili peguam, Datuk K. Kumaraendran, M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast