Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

ALOR SETAR – Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari membidas dakwaan seorang perwakilan dari Johor yang mendakwa parti itu gagal menegur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun rakan sekutunya itu melakukan kesilapan.

Sebaliknya Ahmad Fadhli berasa malu apabila Pemuda Pas yang menjadi barisan hadapan parti hanya berpeluk tubuh apabila Presidennya diserang parti lain termasuk UMNO.

“Tiba-tiba kita bangkit, kenapa serang UMNO. Aduh malu… Pemuda yang sebut ni. Padahal apa yang kita beri selalunya adalah serangan terhadap kita.

“Malu kita jadi Pemuda yang jadi barisan hadapan kepada parti, melihat saja kepimpinan kita diserang.

“Sebab itu saya menyebut, tengah malam pimpinan kita diserang, tengah malam juga kita bangkit pertahankan (disambut sorakan perwakilan) parti, rentas parti kita kena setia kepada kepimpinan,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang perwakilan Pemuda Pas dari Johor mempersoalkan tindakan parti itu yang dilihat kerap mengkritik dan menegur UMNO sedangkan bersikap sebaliknya terhadap Bersatu sekiranya melakukan kesilapan.

Menurut perwakilan itu, sikap dwi-standard itu hanya mengeruhkan hubungan antara Pas dan UMNO sedangkan parti itu bertegas mahu mempertahankan Muafakat Nasional (MN) selepas menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam sidang medianya berkata, beliau membuat teguran dalam bentuk bertukar pandangan setiap kali mesyuarat PN.

“PN sentiasa ada mesyuarat dan yang terdekat pada 7 September 2022 akan ada mesyuarat.

“Teguran-teguran itu akan berlaku dalam bentuk bertukar pandangan dan sebagainya.

“Pendirian inilah yang diputuskan oleh Pemuda Pas hari ini tanpa bahas dan akan dibawa kepada Pas Pusat,” katanya. – MalaysiaGazette