SIK – Pas sedia untuk meletakkan lebih ramai calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, wanita satu kumpulan teras dalam parti tersebut selain separuh daripada pengundi terdiri daripada golongan itu.
“Kita akan tunggu Dewan Muslimat hantar senarai calon termasuk dari semua dewan-dewan lain sebelum ia diteliti oleh jawatankuasa pilihan raya.
“Secara asasnya kita bersetuju supaya muslimat (wanita) diberi peluang lebih besar pada PRU-15 nanti dan kita lihat gabungan antara Perikatan Nasional (PN) diterjemahkan dalam bentuk ketokohan wanita.
“Separuh pengundi kita adalah wanita dan isu-isu yang berlaku sekarang ini banyak membabitkan golongan itu patut ditangani wanita,” katanya.
Terdahulu, Tuan Ibrahim merasmikan persidangan Dewan Muslimat Pas di Dewan Al-Hana, Kompleks Sukan Perdana di sini hari ini.
Hampir 800 perwakilan dari seluruh negara menghadiri persidangan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim menegaskan, pihaknya kini sedang mencari jalan untuk meletakkan wanita dalam kerajaan tempatan di negeri-negeri bawah pentadbiran parti itu.
Untuk rekod, seramai 39 calon wanita diletakkan di kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi Pas pada pilihan raya umum lalu.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat, Senator Nuridah Salleh menggesa parti itu menempatkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada PRU-15.
Nuridah berkata, wanita memainkan peranan penting pada peringkat akar umbi dan jentera pilihan raya untuk parti.
“Dengan memperkasakan wanita untuk mengambil bahagian dalam politik, mereka akan dapat memberi khidmat lebih kepada orang ramai,” jelasnya. – MalaysiaGazette