Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun pada Isnin lalu.

MELAKA – Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun pada Isnin lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukumkan itu terhadap Rosmi Hassan, 72, selepas tertuduh yang turut mengalami masalah pendengaran membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak yang kematian isteri dua tahun lalu itu didapati telah melakukan amang seksual mangsa berusia 14 tahun pada 29 Ogos lalu.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 10 pagi hingga 3 petang semasa berada di dalam kereta jenis Perodua Viva di Taman Krubong Jaya dalam daerah Melaka Tengah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat.

Mengikut fakta kes, mangsa memberitahu telah berkawan rapat dengan tertuduh yang merupakan jiran lama keluarganya sejak tertuduh kematian isteri dua tahun lalu.

Pengadu yang merupakan abang ketiga mangsa berusia 22 tahun dan keluarganya bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa kerana tertuduh seorang warga emas.

Abang mangsa kemudian mula mengesyaki sesuatu apabila mangsa kerap keluar bersama tertuduh hampir setiap minggu termasuk mandapat duit, telefon dan pakaian daripada tertuduh.

Pada kira-kira pukul 3 petang 29 Ogos lalu, pengadu telah terserempak dengan mangsa dan tertuduh yang sedang menaiki kereta jenis Perodua Viva sebelum terus mengejarnya namun cuba dilanggar pengadu.

Sebaik berjaya ditahan, pengadu berasa terkejut apabila mangsa memberitahu tertuduh ada meraba badan mangsa serta melakukan hubungan seks.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan kerana sudah berusia lebih 70 tahun selain mempunyai dua anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana jarak usia tertuduh dengan pengadu dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Beliau turut mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman penjara antara tempoh lapan hingga 12 tahun dan sebatan yang difikirkan sesuai selain perlu menjalani kaunseling pemulihan semasa di penjara.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan dan kaunseling pemulihan di penjara.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan rogol terhadap mangsa sama kira-kira pukul 3.30 petang pertengahan Ogos lalu di sebuah rumah beralamat di Jalan KJ56, Taman Krubong Jaya dalam daerah Melaka Tengah.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun dan sebatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 September untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh, tertuduh turut dikenakan denda RM1,800 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar selepas mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap abang mangsa.

Kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu dilakukan pada kira-kira jam 3 petang 29 Ogos lalu di Taman Krubong Jaya, Melaka Tengah.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette