BANGKOK – Seorang lelaki Myanmar dan isterinya warga Thailand ditahan di Bangkok pada Khamis, kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemerdagangan orang di kem transit dan kubur besar yang dijumpai di Wang Kelian pada 2015.
Penolong ketua polis Thailand, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn berkata, lelaki berusia 55 tahun itu dan isterinya, memiliki pasport Malaysia telah melarikan diri dari Thailand ke Kuala Lumpur (pada 2015) dan menukar identiti mereka agar sukar dikesan pihak polis.
“Suami isteri itu mengaku telah menukar nama. Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan, termasuk pemerdagangan Rohingya (pada 2015),” katanya pada sidang media di sini.
Surachate berkata, waran tangkap telah dikeluarkan kepada pasangan itu berhubung kes pemerdagangan orang dan pengubahan wang haram pada tahun sama.
“Pasangan itu terlibat dalam kes pemerdagangan Rohingya dari Rakhine di Myanmar dan transit di Thailand sebelum memasuki Malaysia.
“Mereka juga melakukan pengubahan wang haram melalui operasi syarikat bas persiaran mereka,” katanya.
Surachate mengucapkan terima kasih kepada polis Malaysia atas kerjasama yang diberikan dalam membantu menahan pasangan itu.
“Sehingga kini, polis Thailand telah mengeluarkan waran tangkap kepada 153 individu, termasuk pegawai tentera Thailand dan pegawai tempatan yang didakwa terlibat dalam kes itu.
“Kami telah menahan 124 setakat ini,” katanya.
Pada Mei 2015, pihak polis menjumpai 139 kubur di 28 kem sementara yang dikendalikan oleh sindiket pemerdagangan manusia di hutan berhampiran sempadan Thailand-Malaysia di Wang Kelian.
Kubur serupa juga turut dijumpai di Thailand.
Mangsa dipercayai berasal dari Myanmar dan Bangladesh untuk mencari pekerjaan.
Pada 2019, satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk meneliti bukti yang dikaitkan dengan kem transit dan kubur besar itu.
Seramai 48 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan. – Bernama