KUALA LUMPUR – Penyanyi Haqiem Rusli meluahkan rasa pelik selepas kegagalan lagu nyanyian dan ciptaannya, Mimpi tidak tersenarai dalam calon lima akhir atau Top 5 pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23).
Haqiem berkata, pihak pengurusannya, FMC Music mencalonkan lagu terbabit untuk bertanding dalam enam kategori namun satu pun tidak berjaya bolos ke lima terbaik.
Katanya, enam kategori itu adalah lagu pop terbaik, vokal lelaki terbaik, susunan muzik terbaik, rakaman lagu terbaik, runut bunyi (ost) terbaik di dalam drama dan muzik video terbaik.
“Saya hairan apabila dimaklumkan lagu Mimpi langsung tak tersenarai dalam calon Top 5 AIM.
“Jadi saya serahkan sahaja perkara ini pada pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FMC.
Sementara itu, FMC berharap ahli jawatankuasa AIM23 menyemak semula senarai calon akhir.
“Kami sedia maklum AIM adalah anugerah yang diberikan kepada karya berkualiti dan bukan bersandarkan populariti lagu semata-mata.
“Kami tidak akan mempertikaikan sekiranya lagu ini tidak pernah memenangi apa apa anugerah yang melalui proses penjurian professional.
“Malah kami sangat yakin bahawa ini lagu Mimpi layak untuk berada dalam senarai top 5 AIM23 untuk beberapa kategori,” katanya.
Untuk rekod, Mimpi ciptaan Haqiem dan lirik oleh Datuk A.Aida pernah memenangi tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-36 pada Mac lalu.
Senarai akhir calon AIM23 telah diumumkan dalam satu sesi sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
AIM23 bakal berlangsung pada 11 September ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.
Bagi edisi kali ini, pihak penganjur menerima 650 pencalonan bagi karya yang diterbitkan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022 dan hanya 105 daripadanya disenarai pendek menerusi 21 kategori yang dipertandingkan.
Penjurian bagi menentukan pemenang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz, Fauzi Marzuki dan lain-lain. – MalaysiaGazette