KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani supaya segera menghentikan segala bentuk tekanan dan gangguan terhadap timbalannya, Rafizi Ramli.
Beliau turut menyifatkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merampas telefon bimbit milik Rafizi untuk tujuan siasatan berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) agak keterlaluan.
“Langkah ini ternyata suatu intimidasi terhadap beliau dalam menentang gejala rasuah di negara ini seperti yang pernah berlaku kepada anak-anak muda dan mahasiswa dalam Himpunan Turun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Rafizi hadir memberi keterangan berhubung isu projek LCS di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini.
Anwar menambah, pihak polis juga harus berlaku adil dalam hal tersebut termasuk menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad kerana laporan polis turut dibuat terhadap beliau.
“Harus diingat amalan dua darjat seperti ini tidak harus diamalkan sebaliknya perlu benar-benar telus menjalankan siasatan tanpa sebarang tekanan dikenakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette