Dr. Nor Azimi Yunus

KUANTAN – Sebanyak 360 notis kesalahan dengan nilai kompaun sebanyak RM87,800 telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam tempoh dua hari operasi penguatkuasaan.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 sempena cuti sekolah di daerah Kuantan dan Bentong pada 2 dan 3 September lalu telah memeriksa 387 lokasi.

“Sebanyak 387 lokasi yang diperiksa melibatkan tempat tumpuan awam seperti premis makan, premis perniagaan, pusat membeli-belah, hentian pengangkutan awam dan kawasan rehat & rawat (R&R),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah kesalahan di bawah Peraturan 11(1) PPKHT 2004 iaitu merokok di tempat larangan merokok dengan 347 notis (96.4%) dikeluarkan seperti di Pusat membeli-belah, hentian pengangkutan awam dan sebagainya.

Manakala bermula dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2022, pihaknya telah mengeluarkan 6039 notis kesalahan dengan jumlah kompaun sebanyak RM 1,443,700 di bawah PPKHT 2004.

Berdasarkan jumlah notis tersebut, kesalahan utama yang berlaku adalah merokok di tempat larangan merokok sebanyak 5445 notis (90.2%), OBD merokok sebanyak 464 (7.7%), penjualan rokok bawah harga minimum sebanyak 55 notis (0.9%) dan lain-lain kesalahan 75 (1.2%).

Nor Azimi berkata, JKNP sentiasa menjalankan penguatkuasaan PPKHT 2004 bagi membendung kesalahan merokok yang boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga Malaysia.

Tindakan ini juga selaras dengan usaha kerajaan dalam langkah persediaan ke arah dasar generasi penamat, Generational End Game. – MalaysiaGazette