Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (kiri) dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood (kanan) semasa sidang media mengenai Perkembangan Program Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA'IM, 05 SEPTEMBER 2022.

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah memulakan kerja-kerja program penggantian aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas 24 tahun beroperasi.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, program itu akan mengambil masa selama tiga tahun dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mac 2025.

Beliau berkata, buat masa ini, perkhidmatan aerotren semasa disediakan dalam jadual terhad dengan perkhidmatan enam bas akan menyokong keperluan penumpang antarabangsa KLIA.

“KLIA akan menerima enam bas dalam tempoh peralihan penggantian perkhidmatan aerotren dengan dua bas diterima pada November ini manakala baki empat lagi pada Februari 2023 bagi melancarkan perjalanan penerbangan penumpang.

“Bas baharu ini akan dapat menampung sehingga 110 penumpang setiap bas iaitu dua kali ganda kapasiti semasa dan ia juga direka secara inovatif dengan struktur yang teguh dan tahan lama.

“Seperti mana-mana program penggantian aset berskala besar, ia perlu dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung program penggantian aerotren KLIA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood bercakap pada sidang media mengenai Perkembangan Program Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 05 SEPTEMBER 2022.

Ketika ini, hanya satu aerotren yang beroperasi pada masa yang ditetapkan dengan jadual terhad sebanyak empat kali sehari.

Mengulas lanjut, Iskandar Mizal menambah, program penggantian aerotren itu melibatkan kos kira-kira RM700 juta dan membabitkan dua fasa.

Beliau berkata, fasa pertama merangkumi kerja reka bentuk sehingga Mac 2023 di mana pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan sistem aerotren baharu memenuhi piawaian pengangkutan dan keselamatan tempatan dan antarabangsa.

Tambahnya, bagi fasa kedua antara Mac 2023 dan Mac 2025, ia melibatkan pembinaan aerotren baharu.

“Bagi meminimumkan kesulitan, kami juga telah mempertingkatkan perkhidmatan bas 24 jam untuk memudahkan pergerakan penumpang dengan lebih baik,” katanya.

“Perkhidmatan bas baharu yang ditawarkan sepanjang tempoh peralihan dilengkapi dengan sistem hidraulik yang sejajar dengan turapan jalan, sekali gus memudahkan penumpang.

“Selain itu, bas akan dilengkapi dengan sambungan WiFi dan paparan digital untuk infotainmen, serta sistem penjejakan dan pengawasan, selain kamera CCTV untuk keselamatan yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir (kiri) dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood (kanan) semasa sidang media mengenai Perkembangan Program Penggantian Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 05 SEPTEMBER 2022.