PETALING JAYA – Hasrat 11 lelaki untuk menyertai konvoi ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos tidak menjadi kenyataan apabila mereka ditahan polis di sebuah stesen minyak di Seremban kerana disyaki kerana pecah rumah dan curi.
Penahanan suspek itu membawa kepada penangkapan dalang di sebalik kecurian wang tunai dan barang kemas masing-masing berjumlah RM430,000 dan RM200,000 dari sebuah banglo di Petaling Jaya, Selangor.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, siasatan polis mendapati dalang utamanya adalah anak saudara mangsa yang berusia 19 tahun yang ditahan di rumahnya di Klang itu telah merancang mencuri wang dan barang kemas tersebut bersama empat lagi rakannya.
Katanya, tujuh lagi rakan suspek utama bersubahat melakukan jenayah itu dan membelanjakan hasil aktiviti jenayah itu yang diagihkan sama rata.
Menurut Mohamad Fakhrudin, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 30-an mengenai kehilangan barangan dalam peti besi yang mengandungi wang tunai dan barang kemas bari banglo yang disewanya pada 25 Ogos lalu.
Tambah beliau, mangsa hanya menyedari mengenai kehilangan wang tunai dan barang kemas sehari sebelum itu apabila kembali ke rumah sewanya untuk mengambil barangan yang disimpan dalam peti besi di ruang dapur.
“Hasil siasatan awal mendapati wang tersebut adalah hasil pelaburan mata wang asing oleh mangsa bersama isterinya sejak awal 2020 hingga 2022.
Mohamad Fakhrudin berkata, bertindak atas maklumat risikan, pada 31 Ogos lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor telah membuat serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki yang berusia antara 19 tahun hingga 23 tahun itu.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kesemua suspek berjaya membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang disyaki dibeli menggunakan wang hasil kegiatan pecah rumah itu.
Jelasnya, antara barang berharga yang dirampas adalah dua buah motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, tujuh buah telefon pintar jenama Iphone 13 Pro Max bersaiz 1 terabite bernilai antara RM8,000 hingga RM9,000 seunit dan sebuah beg silang jenama Coach.
Katanya pemeriksaan ke atas suspek utama membawa kepada penemuan motosikal kawasaki 150RR, selipar, dua utas jam tangan G-Shock, kamera dan wang tunai RM1,000 yang dibeli dengan menggunakan wang curi
“Polis kemudian membawa kesemua 11 suspek yang ditahan ke rumah masing-masing di kawasan Klang dan merampas pelbagai barangan yang dibeli menggunakan hasil wang curi antaranya enam utas gelang tangan emas dan satu anting-anting, sebuah kereta terpakai jenis Honda Civic FD, tiga set alat ganti motosikal dan Perodua serta wang tunai berjumlah RM55,950.
“Malah salah seorang daripada suspek telah menghantar wang hantaran pertunangan berjumlah RM10,000 serta gelang tangan emas dan ia berjaya dijejaki dan dirampas daripada tunang suspek,” ujarnya.
Selain itu, Mohamad Fakhrudin berkata, wang yang dicuri itu juga digunakan untuk berjoli di pusat hiburan serta melanggan pelacuran dan baki RM158,791 tidak dapat dirampas kerana telah digunakan untuk pembelian aplikasi permainan dalam talian, pembayaran bil dan upah pembaikan rumah.
Malah terdapat juga wang yang dicuri itu diserahkan kepada ahli keluarga mereka dan ta telah habis dibelanjakan, ujarnya
“Semakan ke atas mereka mendapati kesemua 12 suspek termasuk dalang utama tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan tiada rekod dikehendaki,” katanya sambil menambah selain daripada penganggur mereka yang ditangkap bekerja
Mohamad Fakhrudin memberitahu, mereka yang ditangkap bekerja sebagai pemandu lori, operator kilang dan penghantar makanan e-hailing.
Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi. – MalaysiaGazette