WASHINGTON – Seorang ahli perniagaan Malaysia yang terlibat skandal rasuah besar Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah melarikan diri dari tahanan rumah menjelang tarikh hukumannya yang ditetapkan pada 22 September ini.
“Leonard Francis memotong gelang GPS yang dipasang pada buku lali,” kata Timbalan Penyelia Marsyal AS Omar Castillo dalam satu kenyataan.
Leonard Glenn Francis, yang lebih dikenali sebagai “Leonard Fat”, ialah seorang warganegara Malaysia yang menjalankan syarikat kontrak tentera keluar dari Singapura yang dipanggil Glenn Defence Marine Asia.
Francis mengaku bersalah pada 2015 kerana menawarkan rasuah kira-kira AS$500,000 kepada pegawai Tentera Laut AS supaya mempengaruhi pemberian kontrk kepadanya.
Pendakwa raya berkata, sebagai pertukaran kontrak Francis memberi wang tunai kepada pegawai tentera laut, makanan dan cerut mahal dan pesta seks liar di hotel mewah.
Beliau juga didakwa mengenakan caj berlebihan sehingga AS$35 juta kepada tentera laut AS.
Polis dihantar ke kediamannya di San Diego pada Ahad selepas agensi yang memantau gelang buku lalinya melaporkan wujud masalah dengan peranti itu, kata Castillo.
“Tiada sesiapa di rumah ketika mereka tiba” katanya.
Buat masa ini beberapa petunjuk sedang disiasat.
San Diego Union-Tribune melaporkan gelang GPS yang dipotong telah ditemui di dalam rumah.
“Dia merancang perkara ini, itu sudah pasti,” akhbar itu memetik Castillo sebagai berkata.
Francis telah ditangkap pada 2013 dan mengaku bersalah dua tahun kemudian.
Dia mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kanser buah pinggang, yang menyebabkan dia dibebaskan dan menjalani tahanan rumah pada 2018 sambil bertindak sebagai saksi pendakwa raya persekutuan.
Empat pegawai Tentera Laut AS telah didapati bersalah dalam kes itu setakat ini, manakala 29 orang lagi, termasuk pegawai tentera laut, kontraktor dan Francis sendiri, telah mengaku bersalah, kata media AS.
Jabatan Kehakiman AS, yang menggelar skim itu sebagai penipuan besar yang merugikan Tentera Laut AS berpuluh juta dolar, membawa pertuduhan terhadap lebih 30 orang, kebanyakannya mengaku bersalah atau disabitkan kesalahan ketika dibicarakan.- Agensi