Mohd Imran Tamrin

KUALA LUMPUR – Digital Nasional Bhd (DNB) digesa supaya tegas dalam membuat keputusan  tidak membenarkan sebarang cubaan sabotaj dalam pelaksanaan 5G negara.

Ini termasuk tidak sesekali berkompromi dalam isu keselamatan data, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Langkah itu susulan pengumuman Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam yang memberi tambahan masa dua minggu kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) untuk menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) bersama agensi pelaksana rangkaian 5G di Malaysia, Digital Nasional Bhd (DNB).

Tambahan masa itu adalah lanjutan masa yang kelima untuk memuktamadkan SSA bersama MNO setelah tarikh akhir diumumkan pada 31 Disember 2021.

Menurut Mohd Imran, lanjutan masa ini berikutan keputusan saat akhir oleh Maxis dan U-Mobile yang pada mulanya bersetuju dengan cadangan pembahagian ekuiti DNB kepada enam MNO dalam negara untuk menarik diri.

“Jadi, lanjutan masa yang diberikan untuk kesekian kalinya ini menampakkan kelemahan DNB selaku pemborong tunggal (SWN) untuk 5G dalam membuat kata putus akhir bagi memuktamadkan SSA yang diusulkan mereka sendiri.

“Ini telah menimbulkan kebimbangan kepada rata-rata penganalisis dan pemain industri telekomunikasi akan kelancaran pelaksanaan 5G untuk mencapai sasaran capaian 80 peratus menjelang 2024.

“Ketidaktentuan yang disebabkan oleh lanjutan masa ini juga boleh menyebabkan negara kehilangan peluang pelaburan dari luar negara yang ingin memanfaatkan kemudahan 5G,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Imran, tidak cukup dengan itu, Tengku Zafrul juga mengumumkan DNB mungkin akan membuka peluang pegangan ekuiti kepada syarikat asing.

Berikutan itu, katanya, terdapat pihak yang khuatir sekiranya pemilihan pemegang ekuiti ini tidak dijalankan dengan ketat, keselamatan data negara dan rakyatnya mungkin akan dikompromi.

Tegas beliau, dalam era data adalah senjata dan isu keselamatan siber pula disifatkan sesuatu yang tidak boleh ditoleransi dan memerlukan perhatian penuh DNB selaku pembuat keputusan.

“Justeru, saya ingin menyeru agar DNB perlu tegas dalam membuat keputusan dan tidak membenarkan sebarang usaha sabotaj dalam melambatkan pelaksanaan 5G oleh mana-mana pihak, biarpun mereka adalah MNO berstatus gergasi.

“Harus diingat, di belakang Maxis adalah Tan Sri Ananda Krishnan manakala U-Mobile pula adalah Tan Sri Vincent Tan, yang mana kedua-duanya diketahui umum adalah proksi dan kroni rapat kepada tokoh politik tertentu yang tidak perlulah dinamakan,” ujarnya.

Beliau mendakwa kedua-dua MNO berkenaan dilihat berdolak-dalik dalam membuat keputusan berkaitan SSA dan kerap membuat keputusan saat akhir.

“Ini mungkin didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang tidak mahu melihat kejayaan pelaksanaan 5G dalam negara oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” tambahnnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast