Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama pegawai tinggi kerajaan selepas Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke-9 di Wisma Kementerian Luar Negeri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan penjawat awam  berkhidmat di luar negara yang menguasai dan menggunakan bahasa asing dalam menjalankan tugas rasmi mereka berkuatkuasa 1 Januari 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu sesuai dalam usaha menggalakkan diplomat Malaysia untuk menguasai bahasa asing selaras dengan keperluan menjalankan urusan rundingan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain.

Bagaimanapun katanya, usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia merupakan dasar kerajaan dan salah satu fokus di dalam Kerangka Dasar Luar Negeri iaitu Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan.

“Seperti banyak negara maju yang mendaulatkan bahasa ibunda, saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan Bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda kita tidak mengekang kemajuan negara.

“Saya telah mengarahkan supaya semua urusan surat menyurat menggunakan Bahasa Melayu, termasuk yang melibatkan urusan luar negara.

“Saya sendiri telah mengutus surat kepada pemimpin-pemimpin dunia yang ditulis dalam Bahasa Melayu dengan disertakan terjemahan Bahasa Inggeris.

”Begitu juga penggunaan Bahasa Melayu sewaktu penyertaan saya dalam pelbagai mesyuarat antarabangsa yang lain,” katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke-9 (HOMC9), di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pengajian, Datuk Seti Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. – MalaysiaGazette