khairuddin mengundi muda songsang musuh Allah
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Rundingan antara Pas dan UMNO masih boleh diusahakan secara politik matang dan harmoni walaupun hubungan antara kedua-dua parti ketika ini agak panas.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, suara yang mahukan perpaduan antara Pas dan UMNO berkumandang di Muktamar Tahunan Pas baru-baru ini khususnya sebagai strategi untuk menang bersama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, suara itu datang daripada akar umbi dan ahli bawahan malah itu yang diminta mereka semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Namun ia agak terlewat di saat UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan untuk bergerak sendiri setelah pelbagai insiden serang menyerang antara pimpinan tertinggi yang berlaku sebelum ini. Malah jemputan ke muktamar dan rundingan tanpa melibatkan Presiden UMNO juga menjadi isu.

“Meskipun begitu, eloklah terlewat daripada tiada langsung. Masih lagi boleh diusahakan perundingan dengan cara politik matang dan harmoni. Usah mengalah kerana ialah adalah hasrat ahli bawahan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Isu hubungan antara Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) hangat dibincangkan semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-68 berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah hujung minggu lalu.

Beberapa perwakilan mencadangkan agar hubungan itu diteruskan menjelang PRU-15 namun pertikaman lidah di luar muktamar tercetus antara pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas khususnya mengenai isu jemputan ke muktamar dan rundingan yang dikatakan masih berjalan tanpa membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd. Khairuddin turut menasihatkan semua pihak agar menjaga tutur kata, mengelak prasangka dan membina jambatan kasih antara dua parti menjelang ulang tahun ketiga MN pada 14 September ini.

“Kepada yang cintakan muafakat ini marilah kita kongsikan gambar serta logo nostalgia MN. Usah malu berkempen untuk muafakat umat,” katanya. – MalaysiaGazette