TEMERLOH – Bandar baru, Temerloh Smart Valley yang berkeluasan 2,000 ekar (810 hektar) akan dibangunkan menerusi Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Temerloh 2035 (Penggantian).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bandar pintar itu merangkumkan pelbagai komponen bandar pintar seperti smart governance, smart digital infrastructure dan smart economy.
Jelasnya, komponen itu digabungkan bagi memastikan keperluan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik, telekomunikasi dan pengurusan utiliti mencukupi.
“Dengan unjuran pertambahan penduduk sebanyak 15 peratus, iaitu kepada 221,650 orang penduduk pada tahun 2035, Draf RTD ini memberi penekanan bagi membangunkan Bandar Baru Temerloh Smart Valley dengan keluasan 2,000 ekar.
“Ini adalah merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang membolehkan pelaksanaan idea bagi memastikan pengurusan sumber dan alam bina yang lestari serta mesra pengguna.
“Perkembangan teknologi membolehkan pelaksanaan pembangunan lebih menyeluruh dengan kos operasi di tahap minimum dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti pengurusan sesebuah bandar raya yang lebih tertumpu kepada kemasyarakatan daripada perbandaran itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Temerloh, di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Pengarah PLANMalaysia, Dr. Alias Rameli berkata, salah satu aspek yang diberi penekananan di dalam perancangan perbandaran adalah berkaitan bandar pintar perlu diserapkan dalam pembangunan Temerloh.
“Walaupun magnitud pembangunan dan cabaran pembangunan di Temerloh mungkin berbeza dengan bandar-bandar besar yang lain, namun persediaan untuk ke arah bandar Temerloh Smart Valley harus dimulakan dari sekarang.
“Temerloh mungkin berada pada kategori bandar bersaiz sederhana dan kecil dan penekanan bandar pintar juga mungkin berbeza,” tambah Dr. Alias.
Sementara itu, Wan Rosdy juga tidak menolak kemungkinan Temerloh dan Bentong bakal dinaikkan status menjadi bandar raya selepas Kuantan.
Menteri Besar berkata, kedua-dua daerah tersebut berpotensi dinaik taraf sebagai bandar raya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Ini kerana Bentong dan Temerloh hampir memienuhi kriteria diperlukan sebelum diangkat sebagai status bandar raya kedua dan ketiga di Pahang.- MalaysiaGazette