SHAH ALAM – Usaha polis menjejaki bekas pembaca berita Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak 24 November lalu masih menemui jalan buntu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim juga berkata, pelbagai usaha telah dibuat termasuk daripada pihak forensik Bukit Aman juga tidak membawa hasil.
“Pada Selasa (hari ini) jam lebih kurang 10 pagi tadi pihak forensik dari Bukit Aman telah hadir membuat pemeriksaan di sekitar rumah Zalina.
“Namun, pemeriksaan yang dijalankan di rumah itu gagal menemui apa-apa petunjuk untuk membantu perkembangan siasatan kes ini,” kata beliau dalam kenyataan ringkas sebentar tadi.
Pada 22 Ogos yang lalu, polis mengesahkan pihaknya sudah selesai mengambil keterangan daripada seorang rakan yang dipercayai sebagai individu terakhir telah berjumpa bekas pembaca berita itu sebelum dia dilaporkan hilang.
Selain individu itu, polis turut menyiasat kontraktor dan dua pekerja yang pernah terlibat dalam kerja pengubahsuaian rumah Zalina.
Katanya, hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina.
Malah, setakat ini tiada perkembangan terbaharu melibatkan kes itu. – MalaysiaGazette