Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa dua bekas menteri antara 18 individu dan enam syarikat yang menerima wang kesemuanya berjumlah RM8.4 juta daripada Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu merupakan Perdana Menteri.

Ia dibuat menerusi 38 transaksi pengeluaran cek di antara tahun 2011 dan 2012.

Yang di sebut itu itu termasuklah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam dan bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem masing-masing berjumlah RM100,000, yang kesemuanya berjumlah RM2.1 juta.

Selain itu, Najib juga didakwa telah memberikan UMNO Bahagian Pekan sebanyak RM300,000, Wanita UMNO Pekan (RM70,000), Wanita UMNO Selangor (RM1.9 juta), UMNO Selangor (RM2 juta) dan dan UMNO Bahagian Machang (RM400,000) yang kesemuanya berjumlah RM4.7 juta.

Sebanyak RM200,000 pula diberi kepada Barisan Nasional Bahagian Bandar Tun Razak.

Najib yang merupakan mantan Presiden UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga pernah memberikan cek kepada syarikat Qalif Umar Creative (RM130,000) dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM274,750).

Turut menerima cek adalah  Gading Emas Management Services (RM50,000), Fanisa Consultancy And Services (RM95,000) dan Two One Holidays Malaysia Sdn Bhd (RM178,000) dengan nilai keseluruhan RM1,428 juta.

Butiran tersebut terkandung dalam keterangan saksi pendakwaan ke-36 prosiding penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion yang sedang dihadapi oleh Najib.

Saksi itu ialah Pengurus Kanan Bahagian Pusat Pemprosesan Cek AmBank (M) Berhad, Badrul Hisam Mohamad yang pertama kali membacakan keterangan saksinya di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Badrul Hisam mengesahkan transaksi cek terbabit direkodkan dalam penyata akaun peribadi AmIslamic Bank Najib dengan nombor berakhir 694.

Saksi itu mendakwa mengenali tandatangan Najib kerana ia tertera di dalam Signature Database System (SDS) untuk tujuan perbandingan dan pengesahan.

“Saya sahkan cek ini dikeluarkan oleh AmBank Islamic berdasarkan kepada kod khas yang terdapat pada cek tersebut, iaitu kod ”49” yang mana ianya diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di mahkamah bagi menghadiri prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2022.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan hadir ke prosiding mahkamah dari penjara setiap hari, petang ini dijangka prosiding audit 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.-MalaysiaGazette