Gambar hiasan

PETALING JAYA – Majlis Perubatan Malaysia tidak bersetuju bahawa doktor pelatih zaman sekarang adalah seperti “strawberi” yang tidak mampu menghadapi tekanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perubatan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Khairi Yakub tidak bersetuju bahawa doktor generasi muda sering menganggap diri mereka dibuli kerana
tidak dapat menahan tekanan.

Beliau berkata demikian kepada Sinchew Daily dalam satu laporan khas yang membincangkan dakwaan buli yang berlaku dalam kalangan doktor pelatih.

Laporan itu antaranya mengutarakan pelbagai pendapat mengenai isu itu termasuk meneliti dakwaan sesetengah pihak bahawa doktor pelatih generasi muda tidak tahan tekanan sehingga menerima gelaran “strawberi.”

Walau bagaimanapun,  Dr. Mohd. Khairi tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan buli yang berlaku ke atas doktor pelatih.

Beliau sebaliknya berpendapat, doktor pelatih yang berdepan masalah perlu mengemuka aduan melalui saluran rasmi.

Katanya, keadaan itu penting untuk memastikan siasatan dapat dijalankan dan merungkai dakwaan yang berlaku.

Jelasnya, Majlis Perubatan Malaysia akan menyiasat aduan yang dibuat ke atas mana-mana doktor dan mengambil tindakan sewajarnya.

Selain itu, tambahnya, peraturan dan sistem latihan untuk doktor pelatih perlu dipatuhi dan pihak hospital serta Kementerian Kesihatan boleh mengambil tindakan ke atas doktor pelatih yang ingkar.

Mengenai sistem tunggu sedia atau “on call” yang menjadi isu, Dr. Mohd. Khairi berkata, sistem itu masih diperlukan walaupun dengan kemunculan teknologi moden termasuk perubatan jarak jauh.

“Keadaan pesakit boleh bertukar bila-bila masa dan perlu ada doktor yang berada dalam keadaan bersedia.

“Kami tidak boleh bergantung kepada teknologi semata-mata, pasukan perubatan dalam hospital yang akan menentukan cara rawatan paling sesuai untuk pesakit,” katanya.

Mengenai keadaan doktor yang bekerja untuk jangka masa panjang dan tidak cukup tidur, beliau berkata, setiap bidang mempunyai ciri-ciri profesionalnya.

“Sekiranya keadaan semasa dalam kerja memerlukan seseorang mempunyai lebih banyak tanggungjawab, maka mereka perlu menyesuaikan diri.

“Untuk doktor pelatih pula, latihan mereka adalah dikawal selia oleh undang-undang yang memastikan sempadan tidak diceroboh dan mengelakkan berlakunya keadaan tidak berperikemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast