KUANTAN – Bagai jatuh ditimpa tangga. Begitulah ujian yang sedang dihadapi sepasang suami isteri, Mohd Zulkifli Ismail dan isterinya, Zamuri @Zawahir Awang Noor dan anak mereka, Muhammad Faiz Fahmi.
Zulkifli yang hilang punca pendapatan selepas ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sejak 1 Julai lalu ekoran penutupan operasi kilang buntu memikirkan nasib anak keduanya Muhammad Faiz, 21, yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima pada Jun lalu.
Selain itu, dia mempunyai dua lagi anak yang masih belajar.
Pasangan suami isteri ini ditemui MalaysiaGazette di Jalan Balok Permai 1 berkata, buat masa ini perbelanjaannya sekeluarga masih bergantung daripada sumbangan rakan-rakan dan simpanan yang ada.
Zamuri, 47, pula tidak bekerja kerana memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Faiz.
Zulkifli ketika membuka bicara berkata, Muhammad Faiz sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Gebeng, banyak membantu menanggung perbelanjaan mereka sekeluarga.
Bagaimanapun, anak kedua daripada empat beradik itu terpaksa berhenti kerja setelah kesihatannya semakin merosot.
“Yang merisaukan saya apabila dia (Muhammad Faiz) mula dialisis nanti, dia memerlukan belanja yang besar,” katanya.
Muhammad Faiz yang bersama-sama semasa kunjungan MalaysiaGazette berkata, sebelum disahkan mengalami masalah buah pinggang dia sering sakit kepala luar biasa walaupun telah mengambil ubat.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mengesahkan dia ada masalah buah pinggang.
“Mula-mula pergi klinik, doktor cakap sebelah (buah pinggang) sahaja (rosak) sebab ukuran buah pinggang sebelah 10 sentimeter (cm) dan sebelah lagi 9cm.
“Kemudian pemeriksaan di hospital mengesahkan satu saiz buah pinggang 9cm dan satu lagi 8cm. Saiz normal 11cm,” tambahnya yang mengakui terkejut dengan pengesahan doktor.
Ketika ditemui, Muhammad Faiz yang kelihatan pucat memberitahu, berat badannya juga susut kepada 55kg daripada 61kg dalam masa hampir tiga bulan ini.
Pada masa ini tiada apa yang dimahukan kecuali kembali sembuh supaya dapat membantu keluarga dan melakukan aktiviti yang disukai.
“Sebelum ni memang saya aktif. Memancing, futsal, main bola. Sebab itu, saya selalu berfikir macam mana boleh kena sakit ini,” luahnya.
Dengan keadaan sekarang, Muhammad Faiz memerlukan perbelanjaan bagi menampung kos membuat pembedahan tapak dialisis kira-kira RM4,000, selain kos rawatan susulan.
Zulkifli berkata, dia sudah membuat permohonan bantuan kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang namun belum ada jawapan lagi.
Mana-mana pihak yang bersimpati dengan nasib remaja ini bolehlah menghulurkaan bantuan ke akaun Ambank Muhammad Faiz Fahmi Mohd Zulkifli 8881033856677 atau akaun Maybank Mohd Zulkifli Ismail (156169387182).- MalaysiaGazette