KUALA LUMPUR – Lima lelaki warga Myanmar ditahan selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan susulan penemuan seorang lelaki yang terbaring di tepi jalan dalam keadaan mabuk dengan kesan tikaman awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, lelaki itu ditemui lebih kurang jam 3.49 pagi semasa Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Balai Polis Sri Petaling menjalankan Rondaan Pencegahan Jenayah di Jalan Radin Bagus 8, Sri Petaling, dekat sini.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati ada kesan tikaman pada pinggang kiri.
Mangsa yang berusia 30an itu telah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Basri berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields bersama Forensik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dan unit anjing telah bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut tetapi tidak menemui sebarang senjata.
Namun, bantuan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta pemantauan sekitar tempat kejadian telah berjaya mengesan lima lelaki terbabit.
Kesemua suspek yang ditahan berusia 20 hingga 30-an dan pemeriksaan polis turut mendapati kesan lebam di bahagian muka dua lelaki yang ditahan itu.
Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Akta Imigresen 1959/63 di Lokap IPD Brickfields untuk membantu siasatan lanjut polis. – MalaysiaGazette