Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sebarang bentuk mesej daripada pihaknya atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) berbentuk amaran kononnya wujud jenayah  sindiket menggunakan kanak-kanak jalanan.

Mesej yang tular itu didakwa sebagai ‘Notis Amaran dari Kementerian Dalam Negeri dan Balai Polis Seluruh Negara’.

Mesej itu mendakwa terdapat pihak menggunakan kanak-kanak yang memegang kertas tertulis alamat rumah bagi dihantar pulang.

Mana-mana individu yang membantu menghantar kanak-kanak sedemikian ke alamat yang tertera didakwa akan dibunuh, oragan dicuri dan dirogol.

Bagaimanapun polis mengesahkan mesej yang tular itu adalah palsu.

Bahkan tidak pernah dikeluarkan oleh KDN atau PDRM.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner Iskandaguru Anandan berkata, semakan Bukit Aman juga telah mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima setakat ini berkaitan insiden jenayah sedemikian.

Beliau menasihatkan orang ramai yang berdepan dengan kejadian seperti yang dinyatakan dalam mesej tular berkenaan agar membawa kanak-kanak itu terus ke balai polis berdekatan dengan kadar segera supaya tindakan lanjut dapat diambil.

PDRM juga mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang mesej tidak berasas serta ditentukan kesahihannya yang dianggap boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.- MalaysiaGazette