Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mencari pemandu Perodua Myvi yang didakwa telah membuli pemandu wanita dengan menghalang dan meludah pada kenderaan mangsa di atas jalan raya bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, berdasarkan laporan mangsa, dia telah dihalang oleh sebuah kereta Myvi semasa berada di persimpangan Jalan Lapangan Terbang Lama menghala ke Jalan Dewan Bahasa.

“Suspek disyaki seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an telah mengekori dan telah memotong kenderaan pengadu serta memberhentikan kenderaan di hadapannya secara mengejut.

“Suspek yang juga tidak dikenali oleh mangsa telah turun dari kenderaan sambil memarahi pengadu dan telah meludah pada kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, polis sedang berusaha mengesan lelaki terbabit dengan melalui pendaftaran kenderaan yang digunakan.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang dan juga mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Amihizam berkata, motif sebenar kejadian terbabit juga masih dalam siasatan polis. MalaysiaGazette