Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada media ketika perjumpaan Solidariti Pemandu Ehailing bersama Gabungan Ehailing Malaysia, Pemuda UMNO dan MTUC mengenai pembentukan resolusi untuk pindaan Akta barkaitan eHailing yang kemudiannya akan di serahkan ke Kementerian Pengangkutan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA'IM, 08 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mempersoalkan kegagalan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memantau perkhidmatan e-hailing baharu, InDriver yang didakwa tidak mematuhi undang-undang.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, aplikasi baharu e-hailing itu tidak mengikut garis panduan yang dikeluarkan APAD selaku pengawal selia perkhidmatan itu di negara ini.

“Ada aplikasi baharu contohnya InDriver yang terpisah daripada ikatan garis panduan yang dikeluarkan oleh APAD ini.

“Ia mengganggu pasaran, perjalanan operasi dan kebajikan pekerja-pekerja e-hailing yang mematuhi garis panduan yang dikeluarkan APAD,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Terdahulu Asyraf mengadakan rundingan meja bulat hampir dua jam bersama Gabungan Ehailing Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (DPMM).

Asyraf juga mendakwa, aplikasi InDriver membenarkan aktiviti tawar-menawar antara pelanggan dengan pemandu perkhidmatan e-hailing terbabit.

“Malah pemandu yang membawa InDriver ini, dia boleh datang daripada sesiapa sahaja tanpa terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan terutamanya APAD.

“Katakan pemandu Grab yang telah pun ditetapkan harganya dalam aplikasi itu RM65, itu kos sebenar dengan mengambil kira komisen dan sebagainya.

“Tapi tawar-menawar dalam InDriver boleh sampai RM35 contohnya, sedangkan aplikasi InDriver ini tidak perlu terikat sepertimana garis panduan APAD,” katanya.

Susulan perkembangan itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia perlu menggerakkan agensi di bawahnya termasuk APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan penguatkuasaan lebih telus tanpa bersikap pilih kasih.

“Soal penguatkuasaan itu perlu dilakukan secara teratur dan terurus supaya aspek kawal selia tidak sewenang-wenangnya

“Begitu juga dari aspek peranan JPJ sendiri, penguatkuasaan itu harus dipertingkatkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette