Pro Naib Canselor Nottingham Trent University United Kingdom, Prof Cillian Ryan (kanan) turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (tengah) menyampaikan sijil diploma kepada graduan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah tamat pengajian pada Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 08 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Hampir kesemua individu yang dinamakan di dalam buku lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) – bahan bukti kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan perkembangan, siasatan mengenai perkara itu bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Siasatan mengenai UKSB kita telah jalankan dan kita telah memanggil hampir kesemua penama yang disebutkan dalam lejar itu.

“Saya jangka mungkin dalam tempoh terdekat ini ia akan disiapkan oleh pegawai-pegawai saya, saya tak tahu bila, mungkin dalam tempoh terdekat ini,” katanya pada sidang media selepas Konvokesyen Program Pentauliahan Penguatkuasaan Undang-undang SPRM pertama 2022 di sini hari ini.

Pada 6 Ogos lalu, media melaporkan ramai lagi nama individu yang disenaraikan dalam buku lejar UKSB akan dipanggil SPRM.

Terdahulu, SPRM mengambil keterangan empat individu ahli politik yang namanya disebut di dalam buku lejar UKSB berkaitan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu nama-nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

Azam berkata lagi, hasil siasatan ke atas kesemua individu yang dinamakan di dalam buku lejar UKSB itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara kelak.

“Setelah siasatan disiapkan, kita akan kemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk dikaji dan dibuat satu keputusan kes-kes berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette