Seorang imam didakwa di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini atas 12 pertuduhan seksual terhadap adik iparnya sejak lima tahun lalu.

MELAKA – Seorang imam didakwa di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini atas 12 pertuduhan seksual terhadap adik iparnya sejak lima tahun lalu.

Tertuduh berusia 40 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi setiap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Nariman Badruddin.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) dan Seksyen 27(1) akta sama.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa kepada empat anak itu didakwa merogol, melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Seri Kerayong Jasin.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 3 pagi antara awal September hingga pertengahan September 2017.

Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun namun tidak melebihi 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sabit kesalahan, Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara lima tahun hingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan keempat hingga ketujuh, penjawat awam itu juga didakwa merogol, melakukan amang seksual dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan terhadap mangsa sama antara pukul 4.30 petang awal Mac 2019 hingga pukul 9.30 pagi awal September 2019 di alamat sama.

Tertuduh turut didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap mangsa sama bagi pertuduhan ke lapan hingga ke-12 di sebuah rumah beralamat di Jalan Simpang Badak, Jasin, antara jam 2.30 pagi 12 Julai 2021 hingga 13 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari dalam prosiding berasingan memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jaminan RM120,000 bagi kesemua 12 pertuduhan selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Terdahulu, tertuduh melalui peguamnya Andrew Lourdes merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya mempunyai empat anak berusia antara 16 hingga 3 tahun yang masih bersekolah selain hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penjawat awam manakala isteri tidak bekerja.

Selain itu, mangsa dalam kes berkenaan juga telah ditempatkan di sebuah rumah jagaan kanak-kanak di Rembau yang tidak memberi peluang kepada tertuduh mendekati mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM79,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Oktober ini untuk tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.