JOHOR BAHRU – Pameran Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang menampilkan pelbagai kenderaan Sultan Johor menjadi tarikan utama Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 yang julung kali dianjurkan tahun ini.
Berlangsung selama 11 hari bermula hari ini, FMJ anjuran Tourism Johor berlangsung di Puteri Harbour, Iskandar Puteri dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Turut dipamerkan cenderahati-cenderahati yang dipersembahkan kepada baginda antaranya lampu rumah api, replika gerbang mahkota, stereng kapal dan replika kereta Morgan.
Pameran KMJ menampilkan empat kereta beroda tiga Morgan digunakan Sultan Johor sewaktu KMJ 2017 dan kenderaan berkenaan direka khas mengikut spesifikasi baginda.
Pengunjung turut teruja melihat Trak Mack yang digunakan Baginda Tuanku Sultan pada KMJ 2015 dan bas Prevost Marathon Coach (KMJ 2014).
Orang ramai juga tidak melepaskan peluang bergambar dengan koleksi motosikal berkuasa tinggi, Modenas Jaguh, Harley Davidson serta pacuan empat roda milik Sultan Johor.
Antaranya, Harley Davidson Road King Special Flinstones, Harley Davidson Soft Tail Deluxe Coronation Edition, Harley Davidson Electra Glide Standard Police dan Harley Davidson Road King Asian Tiger.
FMJ juga mampu merancakkan sektor pelancongan Johor dengan menarik kehadiran lebih ramai pengunjung. – MalaysiaGazette