Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin

PEKAN – Kerajaan Negeri Pahang berhasrat menganjurkan kejohanan kanu antarabangsa – Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) yang pertama kali diadakan tahun ini sebagai acara sukan tahunan di pantai sejauh 240 kilometer di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, penganjuran kejohanan bertaraf dunia itu secara tidak langsung mampu merancakkan aktiviti pelancongan sukan di Pahang.

“Sekiranya kita mendapat maklum balas yang positif daripada penganjuran POPIC tahun ini, kita akan menjadikan kejohanan sukan kanu antarabangsa ini sebagai acara tahunan sebagai signatur baharu negeri Pahang.

“Kita mempunyai pantai sejauh 240 kilometer di Pahang, jadi kita hendak memperkenalkan beberapa pantai seperti Pantai Hiburan di Rompin, Pantai Lagenda di Pekan selain Pantai Balok, Pantai Cherating dan Pantai Teluk Cempedak di Kuantan kepada masyarakat setempat dan pelancong luar negara.

“Disebabkan itulah kita memilih pantai-pantai yang menarik dan bersih itu untuk mereka datang ke negeri Pahang selain melihat penganjuran perlumbaan kanu antarabangsa ini, sekali gus dapat mempromosikan Pahang kepada dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum itu,  Mohd Sharkar mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan penganjuran POPIC 2022 serta menyampaikan pingat kepada barisan pemenang Peringkat 2 kejohanan itu yang menarik penyertaan 238 peserta dari dalam dan luar negara.

Malah katanya, dengan kehadiran pengunjung-pengunjung termasuk dari luar negara, Pahang dijangka dapat menjana pendapatan RM3 juta hingga RM4 juta atas penganjuran kejohanan ini.

Beliau berkata, memandangkan ia sesuatu yang baik walaupun kejohanan ini baru kali pertama diadakan di Pahang, pihaknya berhasrat mengambil langkah berani dengan menjadikan industri (penganjuran sukan) kanu sebagai satu signatur di Pahang.

“Kerajaan negeri berasa bangga apabila buat julung-julung kalinya dapat menganjurkan kejohanan kanu antarabangsa ini. Difahamkan peserta luar hadir daripada beberapa buah negara seperti Afrika Selatan, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan, Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Apabila sudah ‘established’, kejohanan ini boleh diangkat seperti (perlumbaan berbasikal terulung dunia) Tour de France suatu hari nanti,” jelasnya.

POPIC 2022 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM300,000 berlangsung selama lima hari mempertandingkan tujuh kategori membabitkan laluan keseluruhan sejauh 79.36 kilometer.  – MalaysiaGazette