Najib hospital
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman terhadap Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun Najib sebagai plaintif meneruskan saman terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas selaku defendan pertama.

Terdahulu peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya memutuskan untuk memberhentikan kes saman terhadap kerajaan selaku defendan kedua.

“Saman terhadap kerajaan dihentikan,” kata Firoz Hussein semasa prosiding di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache.

Peguam Alan Adrian Gomez mewakili Thomas.

Najib, 69, hadir di mahkamah memakai sut kelabu dan duduk di galeri awam dengan dikawal beberapa pegawai dari Penjara Kajang. Turut kelihatan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Berdasarkan notis pemberhentian saman yang difailkan Tetuan Raj, Ong & Yudistra semalam, bekas perdana menteri itu memberhentikan sepenuhnya tindakan terhadap Kerajaan Malaysia dengan tiada perintah mengenai kos.

Pada 22 Okt 2021 Najib menfailkan saman itu atas dakwaan pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Katanya beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 membabitkan 1MDB dan International Petroleum Investment Company.

Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya. – BERNAMA