Gambar hiasan

KUANTAN- Pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) berusaha menangani kerja-kerja penyelenggaraan paip utama di kawasan Mahkota Golf and Country Club (MGCC) di sini yang pecah dan menjadi punca gangguan bekalan di daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kerja pembaikan telah dimulakan dalam tempoh 48 jam lalu di beberapa kawasan namun dijangka mengambil masa untuk disiapkan sepenuhnya.

Saiful Zaini Mohd Bokhari

“Lokasi sebenar kebocoran dikenal pasti melibatkan paip berukuran 1,500 milimeter (mm) yang dipasang sejak tahun 1980-an dengan kedalaman antara 10 hingga 15 meter.

“Kerja-kerja mengorek berdepan masalah ekoran berlaku runtuhan tebing sehingga terpaksa dipasang cerucuk kepingan besi yang memakan masa lebih 16 jam di kawasan berlaku kebocoran,” katanya.

Saiful berkata demikian ketika ditemui selepas sesi taklimat dan lawatan ke tapak kerja-kerja penyelenggaraan paip air mentah di MGCC di Indera Mahkota di sini hari ini.

Tambah beliau, bekalan air yang ditutup sementara sejak dua hari lalu kini disalurkan semula kepada pengguna secara berperingkat meskipun pembaikan belum siap sepenuhnya.

Susulan itu, katanya, PAIP telah berajaya mengecilkan jumlah akaun pengguna yang terjejas daripada 85,000 akaun kepada 35,000 akaun sahaja.

“Ia melibatkan daripada 84 kawasan terjejas kepada 14 kawasan sahaja yang terjejas,” katanya.

Menurutnya, gangguan bekalan berlaku apabila  paip lama yang dipasang sekitar 1980-an itu pecah dan berlaku kebocoran. – MalaysiaGazette