Anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan mayat mangsa dalam kemalangan di Kilometer 67, Jalan Karak-Kuala Lumpur malam ini.

KUANTAN – Seorang lelaki maut dihempap sebatang pokok ketika menunggang motosikal dalam kejadian di Kilometer 67, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur di Bentong hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa, Muhammad Mustaqim Noor Azhar berusia 21 tahun disahkan meninggal di lokasi nahas.

Mangsa yang beralamat terakhir di Taman Hijau di Karak itu ditemui tertimbus bersama motosikal Yamaha Y150.

“Komander operasi membuat size up lokasi dan mengarahkan anggota bomba memotong pokok menggunakan gergaji untuk bagi mengeluarkan mangsa.

“Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mayat mangsa yang telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia bagi dihantar ke unit forensik untuk proses bedah siasat.

Operasi menyelamat yang bermula pukul 7.08 malam dengan kekuatan 10 anggota bomba tamat pukul 7.45 malam. – MalaysiaGazette