Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio bercakap kepada media menjelang aksi perlawanan akhir Piala FA 2022 antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Selatan tidak mahu dihantui dengan kekalahan kepada KL City di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu, kata Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio.

Oleh itu, pertarungan menentang Skuad Penyu di gelanggang sama malam esok pastinya akan berbeza dengan menampilkan kemenangan bergaya.

“Saya akan tunjukkan cara untuk memenangi perlawanan malam esok, kita akan kekalkan intensiti yang sama dan berusaha keras dengan tidak lagi pandang kekalahan yang lepas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio bercakap kepada media menjelang aksi perlawanan akhir Piala FA 2022 antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

Pengendali dari Argentina itu menegaskan, kekalahan pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu memberikan pengajaran berharga dalam memastikan anak buahnya terus fokus memburu Piala FA.

Jurulatih berusia 54 tahun ituyakin anak buahnya mampu menembusi gawang gol pihak lawan selepas membuat kajian mengenai corak serangan dan pertahanan skuad kendalian Nafuzi Zain.

“Kita menghormati dan sedar kualiti yang dimiliki Terengganu tetapi kita pernah menentang mereka sebelum ini, jadi kita boleh tahu penguasaan skuad itu. Saya percaya anak buah saya sudah bersedia untuk aksi terakhir ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kapten Harimau Selatan, Farizal Marlias tekad memastikan pasukannya menjulang piala keramat itu selepas kali terakhir meraihnya pada enam tahun lalu.

“Saya sentiasa bersedia untuk beraksi esok dan sudah tentu kami sepasukan dengan motivasi yang terbaik dan akan beri segalanya untuk membawa pulang piala ini ke bumi Johor,” katanya.

Malam esok, juara Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut itu akan menentang Terengganu FC yang pastinya akan menampilkan aksi terbaik selepas Skuad Penyu itu kali terakhir memenangi trofi tersebut pada 2011. – MalaysiaGazette