KUALA LUMPUR- Misi terlaksana!
Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini dinobatkan sebagai juara Piala FA seterusnya menjulangnya buat kali kedua selepas julung kali merangkul piala berkenaan pada 2015.
Ia sekaligus memusnahkan harapan skuad Peteh untuk menamatkan badi 11 tahun membawa pulang gelaran itu ke Pantai Timur selepas dua kali merangkul kejuaraan itu pada 2000 dan 2011.
Skuad kendalian Jurulatih warga Argentina, Hector Bidoglio berjaya menundukkan skuad Peteh dari Pantai Timur itu dengan kemenangan 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Sejak awal perlawanan, Harimau Selatan yang dibarisi kombinasi dua penyerang berbisa – Bergson dan Forestieri ternyata mengugat bek pertahanan pasukan lawan dengan mencipta beberapa percubaan tepat pada 30 minit pertama.
Bagaimanapun kelincahan penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim berjaya menggagalkan percubaan pasukan Harimau Selatan.
Pada masa yang sama, pasukan kendalian Mohd Nafuzi Mahammad Zain turut menguji gawang JDT dengan beberapa rembatan menarik bagaimanapun gagal mendapat jaringan.
JDT yang menguasai permainan atas padang dengan serangan balas akhirnya berjaya membuka jaringan menerusi Arif Aiman yang melakukan rembatan kencang pada minit ke-34.
Skuad Peteh yang tidak menjangka gol itu mula mengatur strategi dan melakukan beberapa serangan balas namun gagal mencari gol penyamaan sebelum separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada JDT.
Pada separuh masa kedua, JDT nyaris menambah jaringan pada minit ke-46 dan juga minit ke-51.
Namun kedua-dua percubaan tepat itu yang datang dari Arif Aiman berjaya ditepis oleh kelincahan penjaga gol lawan.
JDT turut membawa masuk Muhammad Nazmi Faiz Mansor menggantikan Mohd Afiq Fazail di awal separuh masa kedua untuk memperkuatkan serangan tengah.
Pada minit ke-63, Harimau Selatan terus menggandakan gol jaringan dengan membuka gol kedua pasukan.
Gol itu hadir menerusi penyerang sensasi pasukan itu, Bergson menerusi sepakan penalti selepas dia diterjah dan dijatuhkan dalam kotak penalti ketika membawa bola satu lawan satu berdepan penjaga gol Terengganu.
Gol kedua itu ternyata sedikit mengecewakan pasukan Terengganu yang sedang berusaha memecahkan kubu pertahanan lawan untuk membuka gol.
Namun pasukan dari Pantai Timur itu terus mempamerkan aksi semangat juang yang tinggi meskipun ketinggalan 0-2 kepada lawan.
Walaupun selesa dengan dua gol dalam perlawanan malam tadi, umpama harimau yang kelaparan, JDT terus mengasak gawang lawan dengan beberapa serangan balas untuk menambah jaringan.
Pada minit ke-75, Terengganu FC berjaya merapatkan jurang dengan JDT FC dengan gol menerusi kapten pasukannya Tchetche Herman pada minit ke-76.
Namun gol tunggal yang serba sedikit membangkitkan semangat dan harapan kepada skuad Peteh untuk mencari gol penyamaan akhirnya berkecai.
Penyerang berbisa JDT, Bergson sekali lagi menjadi pemusnah kepada lawan apabila membuka gol ketiga untuk Harimau Selatan pada minit ke-78 perlawanan.
Terengganu FC terus menyusun serangan balas di gawang lawan dengan beberapa percubaan namun gagal menghasilkan gol.
Pada 10 minit terakhir perlawanan, Terengganu FC mencuba nasib dengan melakukan serangan balas di gawang JDT FC namun wisel penamat perlawanan sepenuh masa ditiup pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin untuk mengesahkan kemenangan JDT.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris turut hadir berkongsi kegembiraan detik manis pasukannya menjulang Piala FA untuk kali kedua itu.
Lebih 84,300 penyokong kedua-dua pasukan telah berada dalam stadium untuk menyaksikan aksi final tersebut malam tadi.
Piala kemenangan untuk juara 2022 telah disampaikan oleh Presiden Malaysian Football League Ab Ghani Hassan.
Pemain JDT FC Arif Aiman Mohd Hanapi diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir malam tadi. – MalaysiaGazette