Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp diingatkan mengkaji sejarah pembentukan negara sebelum lantang mengatakan Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, Yapp perlu memahami sejarah negara sebelum mengeluarkan kenyataan yang dilihat cerdik namun tidak bersandarkan fakta.

“Sebelum kamu membuat sesuatu kenyataan, kamu hendaklah mengetahui tentang sejarah Malaysia dan asas pembentukan Malaysia.

“Tidak semua kenyataan itu bijak, terutama apabila tanpa pengetahuan tentang sejarah. Kadang-kadang diam itu lebih baik daripada berbicara tanpa asas,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Yapp mendakwa, Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif, sebaliknya dimiliki semua warganegaranya tanpa mengira kaum.

Yapp berkata, masa depan negara ini juga mesti diasaskan kepada kepercayaan, persefahaman dan cita-cita bersama antara pelbagai kaum, bukannya ketakutan, kebencian atau perpecahan.

Sehubungan itu, Yapp menyeru rakyat Malaysia khususnya generasi muda menolak politik kebencian dan berpegang teguh kepada rasionaliti, perpaduan dan nilai-nilai Malaysia sebenar.

Selain itu, Fariz juga mengingatkan Yapp agar memahami Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera termasuk Bahasa Kebangsaannya.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberikan Yang di-Pertuan Agong tanggungjawab untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Sejarah bukan sekadar tarikh. Fahami sejarah sebelum keluarkan sesuatu kenyataan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast