Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh (kanan) ketika menyertai program gotong-royong anjuran Persatuan Penduduk Jalan Bukit Maluri 7 bersama Pejabat Kesihatan di Jalan Bukit Maluri 7, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 10 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kes demam denggi di Segambut di sini masih terkawal meskipun pada tahap membimbangkan dengan 18 kes dilaporkan setakat 9 September ini.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding 3,468 kes demam denggi yang direkodkan di seluruh Kuala Lumpur sejak awal tahun ini.

“Saya lihat kita ada empat lokaliti hotspot tapi bukan banyak sangat kes. Laporan yang saya dapat seluruh Segambut ada 18 kes setakat minggu ini.

“Laporan yang saya terima adalah Bukit Maluri (8 kes), Lorong Rahim Kajai 8, TTDI (5 kes), Sunway Mont (3 kes), Taman Sri Bintang (2 kes).

“Semua kes denggi (Segambut) untuk minggu ini sahaja, setakat 9 September 2022. Tempoh wabak denggi ini kebanyakannya bermula Ogos sampai sekarang.

“Setakat ini di kawasan saya okay (terkawal) berbanding seluruh Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Bukit Maluri hari ini.

Terdahulu beliau bersama Pengerusi Persatuan Penduduk, Jalan Bukit Maluri 1-7, Taman Bukit Maluri menyertai program kesedaran dan gotong-royong bagi membanteras nyamuk aedes bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kepong.

Dalam pada itu, Hannah berkata, statistik itu bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana wabak denggi kini menyerang hampir ke seluruh negara lebih-lebih lagi apabila tiba musim hujan.

“Dekat sini (Taman Bukit Maluri) adalah lokaliti hotspot dengan tujuh hingga sembilan kes denggi dan ia akan bertambah. Di sini ada tujuh pasukan meronda dan memberi kesedaran kepada jiran-jiran tentang tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Selalunya orang ingat air kotor (tempat pembiakan aedes) tapi sebenarnya ia membiak dalam air jernih dan di bawah teduhan. Bila kita jalan, kesedaran itu wujud dan rumah-rumah berisiko akan terus diperhatikan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Bukit Maluri 1-7, Taman Bukit Maluri, Low Kok Leong berharap program kesedaran dan gotong-royong seperti itu dapat mengurangkan kes demam denggi di situ.

“Banyak terima kasih hari ini DBKL dengan kesihatan ada tolong kita. Taman ini memang ada kes denggi, saya harapkan lepas ini gotong-royong boleh lah kurangkan kes, jangan ada lagi denggi ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette