Pendayung Terengganu, Daing Sulaiman Daing Suhaimi memintas Mohd Adib Kamaruzrizan pada hari keempat kejohanan Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Cherating hari ini.

KUANTAN – Pendayung Terengganu, Daing Sulaiman Daing Suhaimi mencipta kejutan apabila menjuarai Peringkat 4 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Cherating di sini hari ini.

Dalam perlumbaan kategori kebangsaan TK1 lelaki itu, Daing Sulaiman merekodkan masa dua jam 11 minit 09.49 saat bagi meninggalkan pencabar terdekatnya dari Pahang, Mohd Adib Kamaruzrizan (2:14:02.75s) dan wakil Polis Diraja Malaysia, Freddy Anggang (2:14:25.05s).

Kejayaan mengungguli perlumbaan sejauh 20 kilometer itu sekali gus menyaksikan Daing Sulaiman muncul pendahulu baharu kategori TK1 lelaki apabila memintas Adib dengan perbezaan masa keseluruhan 45s.

“Syukur alhamdulillah dengan kemenangan pada Peringkat 4 hari ini. Dalam tiga peringkat sebelum ini, saya memang sudah cuba sehabis baik untuk bersaing dengan Adib merebut tempat pertama tetapi dia lebih laju untuk kekal di depan.

“Hari ini, saya berpeluang mendahului Adib apabila dia melakukan sedikit kesilapan di Boya 1. Situasi itu membolehkan saya terus mendahului Adib dan barisan pencabar yang lain termasuk Freddy untuk berada di depan.

“Untuk perlumbaan terakhir esok, saya akan cuba dengan strategi sama. Paling penting, saya kena pecut awal-awal untuk menjarakkan diri dengan pendayung lain dan kekalkan tempo pada pertengahan sehingga tamat perlumbaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adib yang menjuarai tiga peringkat sebelum ini – di Pantai Hiburan, Rompin; Pantai Lagenda, Pekan dan Pantai Balok, Kuantan pula mengakui dia melakukan kesilapan pada awal perlumbaan sehingga membuka peluang kepada Daing Sulaiman menjuarai Peringkat 4.

Kejohanan Pahang Ocean Paddle International Challange (POPIC 2022) yang bermula Rabu lalu akan melabuhkan tirai dengan perlawanan peringkat kelima di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan pada hari esok. – MalaysiaGazette