Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi antara penghidap penyakit demensia.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin buat kali pertama berkongsi keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri yang juga bapa mentuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang kini menghidap penyakit demensia atau nyanyuk.

Menurut Khairy, keadaan Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah  semakin merosot.

Pak Lah tidak mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain dan semakin sukar untuk bercakap.

Beliau bagaimanapun berkata, Pak Lah sihat dan berada dalam keadaan baik serta lebih selesa berada di rumah untuk mengelak jangkitan Covid-19

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah dikongsikan sebelum ini yang Pak Lah menghidap demensia.

“Beliau mula menunjukkan tanda kecacatan kognitif (cognitive impairment) sejak 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.

“Saya beritahu mengenai penyakit dihidapi Pak Lah ini selepas mendapat persetujuan daripada keluarganya kerana ramai tertanya-tanya keberadaannya dan sudah lama tidak melihatnya di tempat umum.

“Beliau kini terpaksa duduk atas kerusi roda, umpama mempunyai kehadiran fizikal dan fikirannya tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria dan Pengerusi Kumpulan Pembangunan Panduan Amalan Klinikal (CPG) merangkap Pakar Psikiatri Geriatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Chan Yee Fai.

Khairy menambah, Pak Lah kini tidak lagi dalam keadaan normal kerana tidak mengenali orang terdekatnya.

“Saya tahu beliau masih mengenali saya apabila melihatnya mengerdipkan mata, apabila saya melawatnya.

“Lebih banyak hari yang sukar berbanding hari yang lancar. Jadi doakan beliau dan kami berharap untuk hari yang lebih baik akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette