KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempertahankan pendedahannya bahawa beliau diarah mengosongkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) tanpa perlu membuktikannya.
“Saya sudah nyatakan apa yang perlu saya katakan sebagai jawapan kepada kenyataannya (Mohamad). Ia adalah benar dan saya tidak perlu membuktikannya.
“Saya tidak akan sentuh perkara itu di khalayak ramai lagi dan biar saya selesaikan perkara ini secara tertutup,” katanya.
Beliai berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun tidak menyatakan sama ada di Rembau atau lokasi lain.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN menegaskan kedudukan calon dan kerusi bagi komponen itu termasuk UMNO belum dimuktamadkan dan kenyataannya berkaitan Rembau sebelum ini hanya mengenai soal kesiapsiagaan jentera parti.
Ketua UMNO Bahagian Rembau itu membalas kenyataan Khairy yang timbalan ketua bahagiannya merangkap penyandang kerusi Parlimen berkenaan sejak 2008, bahawa beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Mohamad yang mahu bertanding menggantikannya.
Pada 3 September lalu, media melaporkan Mohamad mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15 dan pada masa sama, akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.
“Memandangkan sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya perlu bertanding pada peringkat Parlimen bagi memainkan peranan berkesan di peringkat kebangsaan dan peringkat tertinggi parti,” katanya tanpa tidak mendedahkan kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya.
Sehari kemudian, Khairy mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Mohamad yang mahu bertanding di Rembau.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengakui dia terpaksa akur dengan arahan berkenaan walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau. – MalaysiaGazette