KUANTAN – Seorang pewaris peneroka berasa bersyukur dapat menggenggam  geran pemilikan tanah meskipun ayahnya sudah meninggal dunia 11 tahun lalu.

Hanim Farah Marlisa Hassan, 35 tahun berkata, sebagai anak peneroka, dia  menyaksikan pahit maung perjuangan ayahnya dalam membesarkan dia tiga beradik dalam tanah rancangan Felda.

“Hari ini mewakili adik-beradik dapat pegang geran ini, saya rasa amat bermakna walaupun ayah sudah lama meninggal dunia pada tahun 2011 lalu.

“Gembira sangat kerana perjuangan ayah ini memang sudah lama, semasa hidup inilah merupakan perjuangan arwah, kalau dia ada pasti gembira dapat lihat geran,” katanya.

Hanim dalam perancangan memajukan tanah arwah ayahnya percaya dengan kemampuan dan yang diberikan oleh Felda selama ini untuk terus menguruskan serta mengusahakan tanah diwarisi yang diberikan oleh kerajaan.

Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan kepada lebih 650 penerima di majlis penyerahan surat hak milik tanah Felda, hak milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan notis 5A kepada peneroka di Dewan Felda Bukit Sagu 1

Sebagai generasi kedua, beliau tidak menyangka dapat menikmati usaha peneroka generasi pertama sehingga kini, serta akan meneruskan legasi keluarga dan menyokong apa diusahakan peninggalan oleh orang tuanya.

“Kita tahu Felda baru tidak akan buka lagi, kalau Felda buka baru saya pun mahu mohon, justeru kita ikut sahaja generasi terdahulu.

“Soal perancangan tanah teruskan dengan Felda walaupun ada yang beranggapan nak majukan tanah sendiri tetapi saya pilih bersama Felda,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hanim dan keluarganya antara 650 peneroka yang menanti lebih daripada 20 tahun untuk memiliki geran tanah rancangan Felda di Bukit Sagu.

Mereka menerima geran berkenaan daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis penyerahan Dewan Felda Bukit Sagu 1 hari ini.

Ramlah W Teh, 68, berkata, keluarganya bertekad untuk memanfaatkan sebaik mungkin tanah itu sebagai aset keluarga yang bakal diwarisi kepada generasi seterusnya.

Ramlah W Teh

“Proses pemberian geran itu mengambil masa yang lama kerana melibatkan tanah seluas 4,0469 hektar.

“Tanah ini sudah diusahakan dengan tanaman kelapa sawit. Saya amat bersyukur kerana ia memberikan pulangan lumayan hasil usaha sejak 40 tahun lalu,” katanya.

Bagi Khalid Chin, 69, pula berpendapat penantian dan usaha yang dilakukan oleh peneroka Felda nyata berbaloi selepas tertangguh bertahun-tahun.

Khalid Chin

Beliau yang berkerusi roda sebak ketika menerima geran bersyukur atas keprihatinan Kerajaan Pahang yang peka terhadap nasib peneroka.

Khalid berhasrat membangunkan  tanah yang ada ini dengan tanaman sawit bagi menyara kehidupannya sekeluarga.

“Akhirnya perjuangan peneroka untuk mendapat hak milik tanah yang diusahakan selama 45 tahun tercapai walaupun ramai yang sudah meninggal dunia, namun hak milik tanah ini dapat diwarisi anak-anak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette