KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru supaya membuang sikap suka membazirkan makanan kerana negara bakal berdepan isu ketidak jaminan bekalan yang sangat serius sekiranya kebergantungan terhadapnya berterusan.
Pengerusi Gerakan Rakyat Perkasaan Jaminan Makanan (Gesaan), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sikap tidak peduli kepada isu ini bakal menjerat rakyat Malaysia yang terlalu bergantung untuk membeli makanan yang dibekal pihak lain hingga mengakibatkan bekalan makanan ditentukan oleh pihak luar.
Katanya, krisis makanan yang melibatkan kos input pertanian, harga makanan dan rantaian bekalan makanan akan semakin serius pada masa akan datang dan catuan makanan terpaksa dilaksanakan jika keadaan bekalan terhad.
“Tahun 2022 memperlihat peningkatan harga makanan secara mendadak dan bekalan makanan yang tidak mencukupi di seluruh dunia.
“Krisis makanan ditambah rumit lagi dengan tercetusnya krisis geo-politik, krisis ekonomi dan krisis perubahan iklim.
“Krisis- krisis ini akan diikuti dengan krisis sekuriti makanan yang semakin tajam dan kronik walaupun pandemik covid-19 berubah kepada endemik.
“Kenyataan bahawa Malaysia mengimport makanan mencecah lebih RM55 bilion setahun dari luar adalah tanda negara ini mungkin akan terjebak dengan realiti pahit tidak cukup makanan bila berlaku insiden luar jangka semada di dalam negara mahupun di luar negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan, ketidak jaminan makanan adalah isu yang sangat serius yang dihadapi oleh isi rumah di negara membangun, termasuk Malaysia.
Sungguhpun begitu beliau berkata, Malaysia secara umumnya masih berada dalam keadaan makanan yang terjamin dan berada ditangga ke 40 dari 113 negara dalam Global Security index pada 2018.
Namun, berlaku ketidak jaminan makanan pada isi rumah yang menunjukkan tren meningkat adalah suatu yang harus dipandang serius, katanya.
Tambah beliau, pada 2019, Organisasi Makanan dan Pertanian PBB mencatat 900,000 rakyat Malaysia dalam keadaan kelaparan.
Dari jumlah itu katanya, golongan dewasa dan kanak-kanak makan kurang dari tiga kali sehari dan ia bukan kerana memilih untuk berbuat demikian tetapi kerana mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan dan kurang akses kepada makanan.
“Terdapat beberapa fakta yang amat mengkhuatirkan di dalam negara ini terkait dengan jaminan makanan
“Pada 2019, Bank Dunia mengenalpasti 3 dari 10 orang di Malaysia menyatakan mereka tidak punya wang mencukupi untuk membeli makanan.
“Antara 2012 dan 2018, bilangan warga Malaysia yang menyatakan tidak cukup wang untuk membeli makanan meningkat tiga kali ganda dari 8.6 peratus kepada 28.7 peratus di kawasan desa, meningkat dari 18.6 peratus kepada 30 peratus,” ujarnya.
Katanya, ironinya di kawasan bandar yang sepatutnya ada akses kepada makanan, ternyata faktanya ialah ketidak jaminan makanan semakin serius.
“Fakta 52 peratus isi rumah di kalangan isi rumah penghuni flat kos rendah di Kuala Lumpur, tidak punya cukup wang untuk membeli makanan seharusnya merisaukan semua.
“Antara 2017 dan 2019, 2.1 juta rakyat Malaysia menghadapi isu ketidak jaminan makanan paling kritikal. Faktornya ialah kurang akses kepada makanan, kenaikan harga makanan, rantai bekalan yang terganggu dan bencana alam,” jelasnya.
Katanya, golongan B40 berbelanja untuk makanan sekitar RM763 sebulan setiap isi rumah dan ini bermakna secara kasar sebanyak RM25 sehari sekeluarga, manakala, golongan M40 berbelanja RM44 sehari dan golongan T20 pula sekitar RM76 sehari untuk makanan sahaja. – MalaysiaGazette