Rahmad Mariman

MELAKA – Melaka mengenalpasti 128 lokasi panas yang berisiko mengalami banjir susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu, 18 kawasan adalah lokasi baharu hasil maklumat daripada komuniti setempat sebelum ini.

“Secara keseluruhannya, persediaan kita bagi menghadapi banjir ekoran perubahan Monsun Timur Laut pada November ini sudah 90 peratus siap melalui pelbagai program mitigasi dan pengurusan banjir melibatkan semua agensi berkaitan.

“Semua 128 lokasi panas termasuk 18 lokasi baharu telah kita kenal pasti jalan penyelesaian melalui penubuhan Jawatankuasa Banjir negeri yang dianggotai semua 28 wakil rakyat bersama semua agensi bertindak,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, kerja-kerja mendalam serta melebarkan sungai di bawah projek rancangan tebatan banjir (RTB) juga sedang giat dijalankan.

“Kesan projek ini khususnya di Duyong sudah dapat dilihat pada beberapa minggu lepas apabila air hujan dapat mengalir dengan baik ke Sungai Duyong dan kita percaya ianya dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan berhampiran.

“Bagaimanapun kita juga mendesak agar kerajaan Persekutuan supaya dapat mempercepatkan permohonan negeri khususnya di jalan-jalan persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya yang banyak berlaku banjir berpunca daripada masalah pembentung yang sempit,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, pemasangan sistem siren amaran banjir di 18 lokasi panas juga sudah 70 peratus siap dan dijangka dapat diselesai sepenuhnya sebelum akhir bulan ini.

“Bagaimanapun penduduk yang tinggal di kawasan rendah di tepi sungai-sungai juga diingatkan agar sentiasa berwaspada kerana walaupun kita sudah siap sedia, ramalan hujan mungkin boleh menjadi lebih besar dan menjejaskan kawasan rendah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ramalan MetMalaysia akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan disebabkan Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast